Perjalanan manusia merentas masa bermula ketika Nabi Adam alaihissalam menjejakkan kakinya kali pertama di muka bumi pada hari Jumaat. Hakikat sebenar di mana bermulanya perjalanan yang panjang ini tiadalah pernyataan jelas mengenainya. Pendapat dari Ibnu Hatim menyatakan Nabi Adam turun ke bumi yang pertama kali dipijak adalah tanah yang bernama duhna. Tanah ini terletak di antara Mekah dan Thaif. Ibnu Umar dan Abu Hatim pula mengatakan bahawa Adam diturunkan di bukit Safa dan Hawa di Marwah. Al-Hasan berkata bahawa Nabi Adam mula turun ke bumi iaitu tempat yang berada di India, Hawa di Jeddah dan Iblis di Dustimyan, suatu tempat beberapa batu dari Basrah.